Monday, October 31, 2011

Keadilan Islam rahmat buat umatnya.

Dasawarsa ini, nilai keadilan sudah mula di kesampingkan dan menyebabkan hak-hak individu dan masyarakat dinafikan. Nilai yang diamalkan dan diajarkan oleh Islam adalah untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat kita.

Menurut perspektif Islam, hak dan keadilan ke atas individu sangat dirai. Setiap pertuduhan ke atas seseorang perlu didatangkan dengan bukti yang jelas sebelum menjatuhkan hukuman ke atas seseorang. Islam menekankan hak individu sebelum apa-apa hukuman di jatuhkan. Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah saw bersabda: seandainya setiap pergaduan manusia di terima, nescaya setiap orang akan mengadu harta suatu kaum dan darah mereka, kerana itu (agar terjadi perkara tersebut), maka bagi pendakwa agar mendatangkan bukti, dan sumpah bagi yang mengingkari. Hak dan darah orang Islam amat ditekankan dalam prinsip Islam.

Selain itu, islam juga mengutamakan Kebebasan (al-Hurriyyah) dalam setiap individunya. Mengikut undang-undang, setiap orang berhak untuk mendapat kebebasan dalam perkara berikut, antaranya, kebebasan diri, kebebasan beragama,kebebasan bergerak, kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, kebebasan mencari dan memiliki harta dengan cara yang halal. Waima, dalam al-Quran sudah termaktub tentang keadilan harus di tegakkan dengan sempurna seperti yang tercatat dalam kalam agung. Allah SWT yang bermaksud:” ''Dan apabila kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil'' - al-Nisa: 58. Tujuan penurunan ayat ini adalah jelas untuk melindungi mereka yang tertuduh agar tidak dianiayai oleh mereka yang tidak menyukai atau memusuhi mereka. Keadilan di dalam Islam adalah suatu tuntutan dan keadilan ini juga adalah merupakan salah satu dari ciri-ciri ketakwaan. Di dalam al-Quran Allah berfirman: ''Hendaklah kamu berlaku adil, kerana keadilan itu lebih hampir kepada ketakwaan'' - al-Maidah: 8.

Islam adalah agama yang menyampaikan nasihat kepada semua orang. Nasihat perlu disampaikan kepada sesiapa yang dirasakan perlu, selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam. Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud:” sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”. Ilmu yang kita miliki walaupun sedikit mestilah disampaikan kepada orang lain walaupun sepotong ayat. Ilmu mesti disampaikan tambahan pula jika kemaslahatan akan berlaku dan keadilan perlu ditegakkan dengan ilmu yang kita miliki.


No comments: