Wednesday, September 28, 2011

Seksyen 15 AUKU patut dimansuh'


2011/09/28

SHAH ALAM: Pemuda UMNO berharap kerajaan akan memansuhkan Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), sekali gus membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian sepenuhnya.

Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin, berkata cadangan itu wajar diteliti kerana kajian yang dibuat oleh pihaknya menunjukkan majoriti mahasiswa mahu perkara berkenaan diperhalusi sebaik mungkin.
"Kita tidak mahu AUKU dibuang sama sekali kerana yang kita mahukan hanyalah perkara tertentu dalam akta ini dilihat semula terutama berkaitan yang membenarkan mahasiswa berpolitik.
"Pemuda ada buat kajian mengenai hal ini dan ia perlu diberi perhatian kerana ia adalah pendapat mahasiswa di kebanyakan universiti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Pemuda UMNO dan perjumpaan dengan Ketua UMNO bahagian di Selangor di sini, semalam.

Khairy berkata, selepas melakukan transformasi politik dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan mahasiswa berpolitik.

Dalam perkembangan lain, katanya, Pemuda menyokong penuh tindakan kerajaan yang memansuhkan ISA dan digantikan dengan dua akta baru yang akan dibentangkan di Parlimen nanti.

"Pemuda menafikan ahli parti tidak sokong keputusan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), katanya.

~berita harian 28/9/2011

No comments: